Tuesday, 28 January 2014

Cendol Tepi Landasan Keretapi Malim Nawar

Bagi mereka yang lahir di Malim Nawar sehingga awal 80-an mungkin akan teringat cendol di tepi landasan keretapi berdekatan dengan laluan untuk melintas landasan. Terletak di satu kedudukan yang amat strategik, tempat orang ramai menunggu pintu pagar dibuka selepas keretapi berlalu, cendol ini sentiasa menjadi sasaran untuk "menikmati masa".


Satu lagi faktor penting, ia juga terletak betul-betul di hadapan restoran Mahsuri yang asal iaitu sebelum berpindah ke lokasi sekarang. Berbekalkan hanya satu kerusi kayu panjang, apa yang pastinya adalah kemampuan peniaga cendol tersebut untuk balik ke India setiap tahun tanpa gagal.

Jika hari Sabtu pula pasti jualan cendol akan berganda-ganda kerana adanya pasar Sabtu beberapa langkah dari situ. Memang sah masyuk peniaga cendol tersebut. Bayangkan bertahun-tahun dia di situ. Jika dia bijak mungkin tanahnya di India seluas mukim Malim Nawar jika tidak seluas tanah milik Berjaya dari Kampar ke Malim Nawar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa cendol tersebut adalah yang paling sedap di dunia. Manakan tidak, kerana bagi kami di Malim Nawar, biasanya hanyalah rakyat marhaen yang kehidupannya sekadar berkisar di kawasan Malim Nawar. Paling jauh mungkin Kampar dan entah bila sekali sekala "melancong" ke Ipoh.

Tetapi kini, semua itu hanya tinggal kenangan yang tidak akan kembali lagi yang mungkin akan terus lesap apabila generasi yang mengalaminya pergi ke alam lain. Dan terus hilang seolah-olah ianya tidak pernah wujud atau bergetar pun di dunia ini.

Itulah masa, bak kata pujangga hebat kelahiran Malim Nawar iaitu Malim Gozali, manusia sebenarnya tidak tahu apa- apa tentang masa, mereka sekadar menduga-duga.

No comments:

Post a Comment

Komen adalah di bawah tanggungjawab sendiri

Note: only a member of this blog may post a comment.